“Koperasi Sekolah Memupuk Keusahawanan” begitulah tema sambutan Hari Koperasi Sekolah SBPI Rawang bagi tahun 2008. Program yang telah dirasmikan pada 25 Jun 2008 oleh En Mohammad Firhat bin Hamidun (Pengarah Urusan Digimap Sdn Bhd) mengandungi beberapa aktiviti seperti Program Jejak Usahawan, Aktiviti Berkelompok Berdasarkan Tingkatan, Jelajah Bakti Alam Sekitar, dan Sukan Rakyat.

Melalui program Jejak Usahawan, para pelajar telah didedahkan dengan pengalaman berniaga di Pasar Tani. Program ini telah mendapat kerjasama penuh dari pihak FAMA. Para pelajar telah diagih-agihkan kepada setiap peniaga pasar tani di Bandar Tasik Puteri. Pelajar-pelajar ini telah membantu peniaga terbabit menjalankan urus niaga pada petang tersebut (23 Jun).
Seterusnya pada 25 Jun para pelajar telah didedahkan dengan beberapa aktiviti seperti Jumbo Sale & Car Wash, pertandingan sketsa & iklan produk, karnival “Pasti Heboh”, pertandingan fotografi, pertandingan kepenggunaan, mengarang esei, melukis poster, melukis kartun kepenggunaan, slot “Salam Sepintar”, ucapan dan lagu permintaan. Pada petangnya beberapa slot telah diadakan iaitu slot Kembara Ilmu & Tautan Ukhuwah di Sekolah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri. Slot ini telah dijayakan oleh kumpulan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS). Slot kedua ialah Pertandingan Bahas Isu Kepenggunaan Sepintar lwn SBPI Gombak.

Sambutan Hari Koperasi diteruskan pada 26 Jun dengan aktiviti pertandingan sukan rakyat. Antara acara sukan yang dipertandingkan ialah pertandingan lempar selipar, berlari atas tempurung kelapa, congkak, galah panjang, guli dan lain-lain.
Akhirnya pada hari Rabu 2 Julai program ‘Jelajah Bakti Alam Sekitar’ telah diadakan di Lata Kayu, Batang Kali. Program yang sepatutnya diadakan pada 27 Jun telah ditangguhkan ke 2 Julai disebabkan masalah pegangkutan. Melalui program ini para pelajar telah bergotong royong membersihkan persekitaran Lata Kayu tersebut. Program ini telah dijayakan dengan kerjasama Majlis Daerah Hulu Selangor.
Ternyata program selama 5 hari ini telah memberi pengalaman yang cukup berharga kepada para pelajar. Menurut Pn Kasmawati Haron (Setiausaha Program) sambutan tahun ini lebih panjang berbanding tahun lepas yang diadakan hanya selama satu hari sahaja. Mudah-mudahan sambutan tahun ini akan membawa Sepintar mencapai kejayaan sebagai Koperasi Terbaik Peringkat Negeri Selangor dan peringkat kebangsaan. Pada tahun lepas Koperasi SBPI Rawang telah dinobatkan sebagai koperasi terbaik negeri Selangor dan Koperasi Lima Bintang Peringat Kebangsaan.

|