PADA pagi hari Rabu, 27 September 2006, saya telah membuat kejutan di kalangan pelajar yang menghadiri perhimpunan pagi. Selepas Pengerusi Majlis mempersilakan saya berucap, saya terus mengarahkan semua pelajar lelaki mengangkat sebelah kaki. Semuanya terkejut.
Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapakah seorang kaunselor seperti saya tiba-tiba sahaja mengarahkan pelajar berbuat demikian? Pelik sungguh perangai saya pada kacamata mereka. Malah saya tahu ada pelajar yang amat sinis dan memandang ke arah saya dengan pandangan jelek.
Namun selepas saya merasionalkan tindakan saya, barulah mereka mengerti. Saya mengaitkan tindakan mengarahkan mereka berdiri sebelah kaki seberapa lama yang boleh, dengan masalah yang menimpa pesara-pesara tentera dan parajurit yang berjuang, malah ada yang terkorban demi negara tercinta. Pada hari sebelumnya, satu kutipan untuk mengisi Tabung Pahlawan telah dijalankan oleh guru-guru tertentu bagi menghargai jasa parajurit tanah air. Dana daripada tabung ini akan digunakan untuk membantu meringankan balu-balu dan anak-anak/jagaan tentera yang telah terkorban demi mempertahankan tanah air atau untuk membantu bekas-bekas tentera yang lumpuh, sakit dan sebagainya.
Walaubagaimanapun, amat jelek rasanya, ada segelintir pelajar yang bukan sahaja tidak sudi menghulurkan derma, malah mempermainkan pula kutipan derma tersebut. Ada yang tergamak meletakkan kertas-kertas kosong dan ditulis “Derma Ikhlas RM50.00,” “Terimalah Cek Saya” dan sebagainya. Sudahlah derma tidak dihulur, malah mempermainkan dan mempersenda pula tabung kebajikan itu.
Golongan pelajar sebeginilah yang saya anggap “Seperti Kera Mendapat Bunga.” Maknanya, mereka telahpun terpilih secara eksklusif sebagai pelajar SBP. Hmm! Bukan mudah hendak jadi pelajar SBP. Daripada kira-kira 32,000 orang calon UPSR pada tahun lepas yang meraih 5 A dan memohon ke SBP, hanya 6,000 pelajar terpilih ke SBP. Hal ini bermakna 1/5 sahaja atau 20% pelajar yang memohon terpilih ke SBP. Mereka semua adalah “cream of the cream.”
Sebagai cream of the cream, sewajarnya mereka hebat dari segi jati diri, akademik dan kepemimpinan. Sebagai cream of the cream, sewajarnya mereka proaktif. Belajar, bekerja, bermotivasi, berdisiplin tanpa perlu kerap diarah, disuruh dan dikerah. Mengapakah pelajar-pelajar yang terpilih ini tiba-tiba sahaja, ada yang melakukan pelbagai perilaku yang tidak mencerminkan jati diri mereka sebagai pelajar SBP? Hal ini samalah seperti kera mendapat bunga. Kera, apabila diberi bunga, terus sahaja memakan atau memijak-mijak dan membuang bunga itu. Kera tidak tahu menghargainya. Pelajar yang diberi peluang masuk ke SBP selepas melalui sistem jaringan yang ketat, tetapi mempersiakan peluang itu dengan merendahkan jati dirinya, samalah seperti perumpamaan seperti kera mendapat bunga.
Kajian yang saya jalankan di kalangan pelajar Tingkatan Satu, SEPINTAR pada tahun lepas menunjukkan masalah paling besar di kalangan pelajar ialah menyesuaikan diri dengan kehidupan di sekolah berasrama penuh, diikuti masalah akademik dan kerjaya dan perhubungan dengan rakan-rakan sebaya. Apakah ini menunjukkan kurangnya jati diri di kalangan pelajar berpunca daripada masalah ini? Pelajar tidak tahu hendak menyesuaikan diri dengan persekitaran baru yang ditanggapi ‘serba mengongkong’ berbanding di rumah, lantas kecewa dan menyebabkan merudumnya jati diri dan prestasi akademik?
Jika inilah puncanya, pelajar-pelajar perlulah bermuhasabah diri sekerap mungkin. Belajar mengenali diri, mengenali kelemahan kendiri dan mempertingkat potensi agar anda semua tidak menjadi “Intan Kesepian” yang terdampar di lembah gersang lantas kecundang harganya. Jangan sampai anda menjadi laksana emas yang terbiar di tengah padang lantas akhirnya berkumal, dan jatuh harganya.
Andai anda sendiri tidak tahu menghargai dan menggilap potensi diri sendiri yang memang berasal daripada benih-benih yang cemerlang dan hebat, siapakah lagi yang sudi menghargai anda. Akhirnya masyarakat akan mentertawakan khalayak pelajar SBP yang dianggap kononnya bakal pemimpin negara, tetapi tewas dalam membentuk jati diri, tandus harga diri dan sekadar berbekalkan IQ yang cemerlang, tetapi jerlus EQ dan SQnya. |