PERNAHKAH anda ditegur, sama ada secara lembut atau keras, oleh guru-guru, ibu bapa atau rakan sebaya anda? Misalnya teguran-teguran sebegini:
"Apalah awakni, soalan macam tu punya senang pun tak dapat jawab?"
"Kalau macamni perangai awak, saya rasa awak tak kan dapat lulus SPM dengan baik..."
"Berapa kali saya dah cakap, buatlah kerja rumah yang saya suruh...janganlah lembab sangat!"
BAGAIMANAKAH reaksi anda jika guru anda menegur anda seperti di atas? Marah? Benci? Berdendam? Mungkin ada yang amat marah dengan teguran-teguran terutama daripada guru, apatah lagi pihak pentadbir, seperti Pengetua atau Penolong Kanan. Tetapi sebenarnya, bersikap negatif terhadap teguran sebenarnya tidak berbaloi untuk mendaki ke puncak kejayaan.
Pelajar yang ingin mendaki ke puncak kejayaan, haruslah mengamalkan sikap sabar dan tabah dalam menerima teguran. Adun dan terima teguran secara positif. Ada teguran membina, ada pula teguran yang merosakkan. Teguran membina adalah teguran untuk memperbaiki keadaan dan bersifat proaktif. Teguran merosakkan berbentuk sindiran, perlian, kutukan dan cacian yang hanya melambangkan sikap negatif orang yang menegur.
Namun demikian, pelajar yang berjaya dan hebat akan tetap mengadun teguran yang negatif dan dianggap merosakkan untuk mendaki ke puncak kejayaan. Dalam ruangan Fikrah Kaunselor kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda mengenai kisah benar seorang atlet profesional, Adam Zimmerman, sebagaimana dipetik daripada Readers Digest, September 2006.
Sewaktu Zimmerman bersekolah rendah, dia sering kali ditegur oleh gurunya sebegini; "Awakni pendek sangatlah. Awak tak kan boleh menamatkan pengajian di peringkat sekolah tinggi..." Ketika itu Zimmerman baru berusia tujuh tahun. Teguran itu menyebabkan Zimmerman berasa begitu rendah diri dan menganggap dirinya gagal.
Apatah lagi rakan-rakan sebayanya enggan berkawan dengannya menyebabkannya bertambah buntu. Namun teguran daripada gurunya itu rupa-rupanya mengubah kehidupan kanak-kanak disleksia itu menjadi insan yang berjaya. Apabila balik ke rumah dengan perasaan kecewa, ibunya segera merapati Zimmerman dan bertanyakan masalahnya.
Selepas Zimmerman bercerita mengenai masalahnya, ibunya berkata, "Ah...hanya kerana seorang insan berkata begitu kepadamu, janganlah peduli sangat." Ibunya memberikan titipan motivasi dan semangat. "Kau harus bangkit sebagai juara dan buktikan bahawa kata-kata mereka salah. Untuk berjaya, bukan soal kecacatan yang kau miliki, tapi apakah reaksimu terhadapnya."
Zimmerman akhirnya bergraduan juga dari sekolah tinggi dan dengan berketinggian sekadar 170 cm, dia cemerlang dalam dua jenis sukan yang dianggap terlalu sukar untuk dilepasi insan kerdil sepertinya; bola keranjang dan 'volley ball.' Dia diisytiharkan sebagai Most Valuable Player dan All Conference bagi kedua-dua jenis sukan itu. Tidak cukup dengan kejayaan itu, dia cemerlang pula dalam permainan Division 1 dan II, seterusnya cemerlang dalam pengajian hingga dianugerahi Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dan Pemasaran Sukan daripada University of West Virginia, Amerika Syarikat.
Ketika di puncak kejayaan dan kecemerlangan, Zimmerman sering terfikir alangkah indahnya dan bersyukurnya dia terhadap teguran gurunya sewaktu dia berada di sekolah rendah. Demikianlah titipan kisah benar mengenai formula menuju ke puncak kecemerlangan; bersikap positif terhadap teguran.
Banyak lagi tips kejayaan boleh anda tatapi dengan membaca buku karya cikgu, Menuju Puncak Kecemerlangan: Tips Sukses dari A ke Z. Dapatkan buku ini sekarang. Salam sayang daripada cikgu esa buat semua pelajar dan graduan SEPINTAR dan jangan malu-malu untuk menghubungi cikgu menerusi emel adiputerajagat@yahoo.com atau telefon/SMS ke 017-3436570. Selamat berpuasa dan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin. |